
Bukan semua perniagaan merupakan perniagaan yang baik. Sebolehnya sebelum memasuki satu-satu bidang, kita mahu pastikan dahulu bidang perniagaan yang ingin kita ceburi merupakan perniagaan yang berpotensi besar dan boleh mendatangkan keuntungan yang banyak tanpa perlu bersusah payah.
Pemilihan perniagaan yang salah boleh menjadikan masa dan tenaga yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan jauh lebih sukar.
Antara ciri-ciri perniagaan yang baik :
1. Telah ada contoh perniagaan "big player" yang dah kekal dalam bisnes tu melebihi 100 tahun. Maknanya bisnes ni tetap dapat bertahan walaupun telah melalui beberapa kali keadaan kegawatan ekonomi. Contohnya Syarikat Coca-cola yang telah pun beroperasi sejak tahun 1886 menandakan perniagaan minuman botol adalah satu bidang perniagaan yang baik. Begitu juga bidang pakaian, di mana kita dapat lihat pelbagai syarikat pakaian lama yang masih lagi dapat bertahan walaupun telah berusia lebih 100 tahun.
2. Margin untung kasarnya besar. Contohnya perniagaan Restoran Makan, sekiranya diselia dengan baik ia boleh mendatangkan margin untung kasar sehingga 300% dari harga kos. Contoh perniagaan yang kurang baik pula adalah kedai runcit. Kedai runcit hanya mengambil keuntungan lebih kurang 10% sahaja dari harga kos barang. Jadi, apabila permintaan kurang, perniagaan ini mudah jatuh. Sebab itu kita biasa mendengar apabila ada pasaraya baru yang buka, akan ada beberapa kedai runcit yang akan gulung tikar, sebab margin keuntungan kasar mereka sangat rendah.
3. Tak perlu sentiasa research dan upgrade. Sebab masa dan duit akan banyak habis di situ. Seperti Syarikat General Motor, walaupun sangat besar, akan tetapi kebanyakan masa dan duit perlu dihabiskan dalam research. Jadi bila ekonomi jatuh, mereka pun turut jatuh. Sebaiknya perniagaan yang produknya tak perlu upgrade dari dahulu sampai sekarang seperti Coca-Cola, resepinya masih kekal sama meskipun dah lebih 100 tahun. Kalau dari contoh ini, syarikat yang berasaskan teknologi agak kurang baik kerana sifat teknologi yang bergerak pantas.
4. Anda boleh berikan suatu yang orang lain tak dapat beri. Keunikan itu membolehkan anda meletakkan harga yang lebih tinggi, jadi margin keuntungan akan lebih berbanding biasa. Bisnes begini lebih tahan lasak berbanding bisnes lain. Jadi perniagaan yang baik adalah perniagaan yang susah ditiru oleh orang lain.
p/s : Tak semestinya semua ciri mesti ada dalam satu bisnes untuk menjadikan bisnes tu baik. Tapi sekiranya semua ciri-ciri ini ada, maknanya bisnes tu memang ada potensi yang besar dan ianya tahan lasak.










